dalam kesempatan ni...Kapten nak ucapkan..salam Maal Hijrah 1432H..semoga, tahun ni adalah lebih baik lagi dari yang lepas dan transformlah kearah hidup yang lebih POSITIF dan diredhai ALLAH..insyaALLAH...
Tiga Pendekatan Untuk Berubah
Alam semesta mula mengembang sejak langit dan bumi dipisahkan ALLAH s.w.t. (Al-Quran 21:30). Manusia menamakan pemisahan ini dengan The Big Bang Theory.
Kajian saintis baru-baru ini telah mendapati bahawa pengembangan ini bukan sahaja masih terjadi, malah kelajuannya semakin meningkat.
Ia menafikan tanggapan awal bahawa kelajuan pengembangan alam semesta ini akan menjadi semakin perlahan.
Oleh kerana kita adalah sebahagian daripada alam ini, kita juga mengalami pengembangan.
Kejadian kita yang lahir sebagai bayi yang kecil dan kemudian membesar menjadi kanak-kanak, remaja dan dewasa adalah satu bentuk pengembangan atau tumbesaran.
Pada saat kita duduk diam membaca tulisan ini pun, kita sebenarnya sedang bergerak dan berubah.
Sel-sel di dalam tubuh tetap membiak dan berkembang.
Jika setitik darah kita diperhati melalui mikroskop, kita akan dapati sel-selnya bersimpang-siur dan berkitar laju.
Sebab itulah, jika kita tidak mahu berubah kerana berada di zon selesa, kita sebenarnya telah melanggari tabiat alam yang sentiasa berubah, mengembang dan bergerak.
Rugilah sesiapa yang tidak mahu memperbaiki diri sendiri, sama ada daripada segi mental, fizikal dan spiritual.
Berubah daripada yang tidak bagus kepada yang lebih bagus sebenarnya adalah fitrah manusia yang sentiasa inginkan kebaikan di dalam hidupnya.
Kita mahu hari ini lebih baik daripada semalam, dan hari esok lebih baik daripada hari ini.
Seandainya kita tidak mahu memperbaiki keadaan diri, kita akan menggelongsor, merudum dan terjelepuk di lopak kehidupan yang sama.
Bagaimana pun, berubah itu sendiri perlu caranya.
Kalau tidak kena gaya, maka perubahan yang dilakukan itu hanya sementara. Sama seperti resolusi tahun baru yang telah dilupakan belum pun sampai sebulan ia dinawaitukan.
Terdapat tiga pendekatan dalam melakukan perubahan. Perubahan jenis yang pertama adalah berbentuk evolusi dan yang kedua berbentuk reformasi, sementara yang ketiga dalam bentuk revolusi.
Evolusi
Memutar jam lebih awal 15 minit untuk bangun pagi agar tidak lewat sampai ke pejabat, makan sebelum jam 8.00 malam untuk menjaga kelangsingan tubuh atau menahan amarah ketika memegang stereng kereta umpamanya, adalah di antara perubahan-perubahan kecil yang merupakan evolusi diri.
Ia mudah dilaksanakan kerana kita boleh lakukannya hari ini, malah sekarang juga.
Bagaimana pun, kesannya hanya sedikit dan tidak ketara.
Malah, orang lain tidak akan nampak akan perubahan ini kerana ia juga tidak akan memberi kesan kepada orang di sekeliling. Ia seperti kaizen dalam istilah Jepun iaitu perubahan yang sedikit tetapi berterusan.
Reformasi
Perubahan dalam bentuk yang kedua pula lebih inovatif. Dan perubahan ini menemukan jawapan melalui pemikiran lateral.
Kita bukan sahaja mempercepatkan jam 15 minit lebih awal supaya bangun lebih cepat, tetapi turut tidur lebih awal.
Kita bukan sahaja makan sebelum jam 8.00 malam, tetapi mula bersenam.
Kita bukan sahaja menahan amarah ketika memandu, tetapi memasang lagu-lagu nasyid di dalam kereta untuk memperoleh lebih ketenangan.
Cara ini lebih reformatif kerana ia memerlukan pemikiran di luar kotak.
Kedua-dua perubahan secara evolusi dan reformatif ini boleh diaplikasikan jika kita mahukan perubahan kecil dan sederhana. Bagaimana pun, perubahan dalam bentuk yang ketiga ini adalah perubahan yang revolusioner.
Perubahan ini memerlukan satu pendekatan yang jauh berbeza.
Jika perubahan evolusi dan reformatif ini bersumberkan perubahan yang berdasarkan fakta, keadaan dan tabiat yang ada, perubahan jenis revolusi ini membuang terus apa yang ada dan membina yang baru sama sekali!
Dalam konsep pembelajaran, perubahan revolusioner ini menuntut seseorang itu untuk unlearnand relearn atau membuang apa yang selama ini dipelajari dan belajar semula ilmu yang telah dipelajari.
Hijrah
Inilah yang dinamakan hijrah! Pengajaran daripada hijrah Rasulullah s.a.w dari Makkah ke Madinah ialah, ia merupakan perpindahan fizikal dari satu tempat ke satu tempat yang lain.
Dari segi mental, ia meninggalkan satu kebiasaan untuk membina satu kebiasaan yang lain.
Dan daripada segi spiritual, ia memerlukan kekuatan rohani untuk menjayakan sesuatu perubahan itu.
Hijrah adalah perubahan total dengan meninggalkan suasana fizikal , pola pemikiran dan amalan spiritual yang menjadi anutan selama ini. Misalnya, daripada hidup bersama ibu bapa kepada berumahtangga sendiri, daripada makan gaji kepada bekerja sendiri dan daripada menjadi makmum kepada menjadi imam.
Hijrah, atau perubahan revolusioner itu memerdekakan fizikal, mental dan spiritual seseorang. Ia menyerlahkan kehebatan seseorang individu itu.
Malah, ia memberi erti kepada maksud kehidupan seseorang individu itu sendiri.
Seperti alam semesta yang tiada henti pengembangannya, perubahan diri seseorang itu tidak seharusnya ada noktah dalam garis kehidupannya.
Biodata Kolumnis
Norden Mohamed merupakan Ketua Pengarang akhbar Sinar Harian terbitan Grup Media Karangkraf. Sebelum ini beliau pernah menjadi Pengurus Besar Alaf 21 Sdn. Bhd. dan Pengurus Sumber Manusia Grup Media Karangkraf. Graduan UiTM dalam bidang Senireka Perusahaan ini pernah menyumbang bakti sebagai Setiausaha Kerja Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS). Beliau menulis di maafcakap.blogspot.com.
No comments:
Post a Comment